in

Bidang IT Sudah Tidak Relevan Lagi?

Baru-baru ni saya ada join satu webinar yang dianjurkan oleh Kolej Poly-Tech MARA Batu Pahat. Webinar tersebut membicarakan berkenaan IR 4.0 yang dihadiri termasuklah oleh pelajar lepasan SPM.

Ketika webinar berlangsung, seorang dari peserta bertanya,

“Adakah bidang IT masih relevan?”

Pada pemahaman saya, mungkin dia ingin tahu adakah masih relevan jika beliau ingin menyambung pelajaran dalam bidang IT.

Sebenarnya saya agak pelik juga jika ada orang bertanya soalan sebegini. Mana taknya, cuba lihat sekeliling kita, kehidupan rata-rata rakyat Malaysia sekarang. Dikelilingi oleh segala perkakasan dan teknologi.

Nak bersosial pakai komputer, nak buat kerja pun pakai segala macam mak nenek sistem yang sudah tentu guna komputer. Nak bayar bil, bayar cukai, bayar segala benda pun pakai sistem online. Waima smartphone di tangan pun sebenarnya adalah sejenis komputer.

Jadi masakan bidang IT ni boleh jadi tak relevan? Bila direnung sejenak, sebenarnya ramai yang salah tanggapan berkenaan pekerjaan dalam bidang IT. Mungkin mereka ingat bidang IT ni sekadar betulkan komputer, betulkan printer, taip surat guna komputer.

Sebabnya berdasarkan pengalaman saya sendiri yang memang belajar bidang IT, masyarakat sekeliling akan jadikan anda sebagai rujukan. Kalau komputer rosak, kalau internet tak ada, kalau tak boleh print, kalau komputer tak hidup sebab tak on suis pun mereka akan panggil orang IT.

Dulu kalau orang tahu saya belajar dalam bidang IT, soalan favorite yang akan mereka tanya ialah:

“Anak makcik pun belajar bidang IT jugak, dah setahun menganggur. Susah ke nak dapat kerja belajar IT ni?”

“IT tu apa?

Nak kerja apa belajar IT ni?

Bila tengok balik, masa tu, awal tahun 2000 kalau tak silap, memang ramai graduan IT yang menanggur dan tak dapat kerja. Mungkin kerana lambakan graduan dan kurang industri yang memerlukan kepakaran dalam bidang IT.

Maklumlah, di Malaysia masih ketinggalan dari segi teknologi perkomputeran masa tu. Logik juga soalan sebegitu diutarakan.

Walau bagaimana pun, dengan segala teknologi dan sistem yang kita guna pakai untuk melaksanakan urusan seharian, soalan sebegini tak patut timbul lagi.

Bidang IT sudah terbukti relevan dan sangat penting dalam era digital yang sedang kita tinggal sekarang. Apabila IT sangat penting, keperluan tenaga pakar juga akan wujud secara automatik.

Sebenarnya, IT disalah anggap sehingga ramai yang merasakan ianya tidak penting untuk dipelajari. Dan ramai juga yang merasakan, kalau nak belajar IT, boleh Google je atau tengok dekat YouTube.

Jadi kebanyakan institusi yang menawarkan kursus dalam bidang IT tidak mendapat sambutan. Bukan sahaja kolej swasta, universiti awam juga turut terkesan dengan pengambilan pelajar.

Ya memang boleh belajar sendiri, tapi sejauh mana atau sedalam mana yang anda mampu pergi kalau nak dibandingkan dengan orang yang mendapat asas ilmu secara formal. Ibarat anda buka gerai tepi jalan jual donut, dan bandingkan dengan Big Apple.

Bidang IT ni sebenarnya besar. Setiap pekerjaan yang perlu menggunakan komputer, perkakasan network dan perisian tertentu untuk menghasilkan perisian lain, dikira bidang IT. Bukan sekadar pakai Microsoft Word untuk buat format indent, mail merge dan tau semua fungsi, taip laju macam kilat sampai tak perlu tengok keyboard dah kira pakar IT.

Saya pun tak reti semua fungsi dalam Microsoft Word, taip pun terkedek-kedek.

Secara ringkasnya, bidang IT terbahagi kepada beberapa pengkhususan utama seperti Computer Science, Software Engineering, Network Engineering, Information System, Information Security, Technology System, Database dan banyak lagi pertambahan yang wujud. Tu belum masuk pecahan-pecahan dari pengkhususan macam big data, artificial intelligent, algorithm dan sebagainya.

Sefaham saya, IT ni dipecahkan kepada dua (berdasarkan pengkhususan dalam disiplin pembelajaran la ni), iaitu IT dan Sains Komputer.

IT lebih kepada konsep, perkakasan, multimedia dan sains komputer kebiasaannya lebih kepada fundemental perisian, network, security dan banyak lagi. Bila anda belajar bidang IT, akan ada majoring dalam pengkhususan tertentu. Kira macam specialize mengikut ketagori la.

Sebab tu biasanya waktu diploma, kalau ambil Diploma in IT, anda akan belajar semuanya secara surface sahaja. Ilmu yang anda perlu tahu untuk terjun dalam bidang IT. Anda belajar teknologi, sejarah komputer, konsep data, programming, multimedia dan lain-lain. Tapi biasanya tidak terlalu mendalam.

Berbeza pula kalau ambil Diploma in Science Computer. Pada asasnya, anda akan belajar apa yang ada dalam bidang IT (tak semua), tapi akan ada pengkhususan masing-masing, contohnya software, network dan lain-lain.

Sebab tu bila sambung ke peringkat degree, akan ada nama seperti Bachelor of IT in…. atau Bachelor of CS in...

Cabaran bagi setiap pengkhususan juga adalah berbeza-beza bergantung kepada minat. Terus terang saya cakap, bidang IT dan sains komputer adalah bidang yang sangat menarik dan mempunyai laluan kerjaya yang sangat bagus.

Bukan nak merendahkan bidang lain, tapi keperluan IT wujud dalam hampir semua bidang dari pertanian, perikanan, perubatan, media masa, ketenteraan dan banyak lagi.

Sehingga satu masa nanti apabila anda rasa boleh hidup tanpa menggunakan online banking, main konda kondi, tiada internet, beli barang di kedai runcit jangan beli di Shopee, pergi ke tempat baru pakai peta, mungkin masa tu baru IT sudah tidak relevan.

Written by Hanis Harun

Muhd Hanis Harun is a staff of Kolej MARA Poly-Tech (KPTM) who works as a System Developer in the Information Technology Department, KPTM Headquarters starting in early 2020. Previously, he served as a lecturer in Software Engineering at KPTM Batu Pahat Branch, since 2008.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

GIPHY App Key not set. Please check settings

2 Comments

    Kerjaya Paling Kurang Terjejas Semasa PKP

    IPTA vs IPTS – Apa kelebihan dan apa kekurangannya?