in

Hibah Takaful – Apa yang Perlu Anda Tahu?

Biasanya saya menulis tentang kerjaya dan pendidikan tinggi. Namun sejak akhir-akhir ini, saya sering mendapat persoalan berkenaan hibah takaful. Apa bendanya hibah takaful ni? Perlu ada ke?

Saya ni bukanlah orang insurance atau agen takaful. Jadi saya cuba kongsikan serba sedikit apa yang saya tahu berdasarkan kajian yang saya lakukan. Perkongsian ini adalah pendapat peribadi dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana agency hibah takaful.

Hibah Takaful tu apa?

Secara umumnya yang saya rasa ramai dah tahu, hibah takaful ni adalah wang pampasan yang diberikan kepada penama yang kita tetapkan setelah kita meninggal dunia. Pemberian wang ini tidak melalui kiraan faraid dan harta pusaka.

Jadi sekiranya anda melanggan pakej hibah yang biasanya dengan bayaran bulanan, dan sekiranya anda meninggal, bayaran pampasan akan diberikan kepada penama yang anda tetapkan. Biasanya kalau suami yang melanggan, isteri yang akan menerima dan begitulah sebaliknya.

Bayaran pampasan ini tidak termasuk dengan harta pusaka yang biasanya akan dibahagikan menggunakan kaedah faraid dalam Islam. Kita sebut Islam la ye sebab takafulkan. Biasanya hibah takaful ni memang khas untuk orang yang beragama Islam. Kalau bukan Islam biasanya akan ambil insuran konvensional.

Ada banyak agensi atau penyedia pelan hibah takaful di Malaysia seperti AIA, Takaful Ikhlas, PruBSN dan lain-lain. Biasanya syarikat insuran akan ada pelan takaful bagi masyarakat Melayu Islam.

Bagaimana Hibah Takaful Berfungsi

Sebenarnya, hibah takaful berfungsi apabila seseorang bersetuju untuk menyertai pelan hibah takaful bersama peserta-perseta lain dengan tujuan membantu antara satu sama lain pada keadaan-keadaan yang telah ditetapkan.

Sumbangan dari setiap peserta tadi akan dikumpulkan sebagai satu dana yang dipanggil Tabarru‘. Dana ini akan dikumpul dari masa ke masa dan akan dikeluarkan sebagai sumbangan kepada penama sekiranya salah seorang dari peserta meninggal dunia atau berlaku sesuatu kejadian seperti yang telah dipersetujui di dalam pelan takaful berkenaan.

Kita tak tahu pun siapa peserta-peserta lain tu. Kita cuma memberikan amanah kepada penyedia pelan takaful untuk menguruskan dan mebahagikan dana tersebut. Peserta juga tidak tahu jumlah sebenar yang terkumpul dalam dana Tabarru’.

Ada sesetengah penyedia hibah menetapkan tempoh matang dana bagi setiap peserta dari 10 hingga ke 20 tahun. Jumlah pampasan dan manfaat juga berdasarkan persetujuan yang telah ditetapkan oleh penyedia pelan hibah takaful.

Keperluan Hibah

Hibah biasanya dilanggan sebagai persediaan jika berlaku sesuatu kemalangan yang boleh mengakibatkan kematian, atau kecacatan kekal yang boleh mengakibatkan hilang punca pendapatan. Tidak semestinya kematian akibat kemalangan. Kematian atas sebab lain juga boleh diambil kira.

Manfaat hibah biasanya berbeza bagi penyedia-penyedia pelan. Walau bagaimana pun, kebanyakannya selari dalam kes kematian, kecacatan kekal, perlindungan aset, melangsaikan hutang dan sebagainya. Namun, mungkin ada perbezaan dari jumlah manfaat.

Sebagai contoh, ada pelan yang membayar pampasan sehingga RM50,000 bagi kematian dan ada juga pelan yang membayar pampasan sehingga RM100,000. Biasanya jumlah ini bergantung kepada jumlah bayaran bulanan pelan yang anda langgan.

Biasanya rakyat Malaysia menganggap hibah bukanlah satu keperluan sehingga perkara-perkara yang tidak diingini terjadi. Contohnya kematian secara mengejut si suami dan meninggalkan isteri bersama anak-anak tanpa simpanan yang mencukupi. Lebih menyedihkan, arwah bukan hanya tidak meninggalkan harta, malah mewariskan hutang-hutang yang banyak dan sekaligus memberi tekanan kepada isteri.

Walau bagaimana pun sejak akhir-akhir ini, kesedaran rakyat Malaysia terhadap kepentingan dan keperluan hibah telah meningkat. Dan terdapat banyak pelan mampu milik.

Jadi nasihat saya, sediakanlah sekurang-kurangnya satu pelan hibah takaful kepada waris anda supaya pemergian anda tidak menjadi beban kepada orang yang anda sayangi. Kita mungkin dah selamat ke alam barzakh, namun apa nasib anak dan isteri kita yang perlu berjuang meneruskan kehidupan dengan bebanan yang kita tinggalkan.

Sekali lagi, saya bukanlah ejen takaful namun saya berkongsikan tentang hal ini untuk memberikan kesedaran kepada mereka di luar sana. Ada ramai ejen takaful di luar sana, dan bermacam-macam pelan yang disediakan. Anda boleh google dan buat perbandingan. Jangan lupa juga untuk mendapatkan feedback dari pelanggan pakej yang anda buat perbandingan, takut nanti ada yang susah nak buat tuntutan dan baca dengan teliti kontrak yang anda bakal tandatangan.

Sekiranya anda inginkan konsultasi percuma, anda boleh juga bertanya dan mendapatkan maklumat lanjut dari Facebook Medical Card Cuepacs Care.

Written by Hanis Harun

Muhd Hanis Harun is a staff of Kolej MARA Poly-Tech (KPTM) who works as a System Developer in the Information Technology Department, KPTM Headquarters starting in early 2020. Previously, he served as a lecturer in Software Engineering at KPTM Batu Pahat Branch, since 2008.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

GIPHY App Key not set. Please check settings

    Pengalaman Belajar di KPTM dari Sijil hingga Degree

    Permohonan KPTM / KUPTM – Apa yang Anda Perlu Tahu?