Dalam post kali ini saya nak berkongsi sedikit pengalaman belajar di KPTM. Saya menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2000. SPM pertama yang menggunakan sistem terbuka. Keputusan saya boleh dikatakan agak mendukacitakan bagi pelajar dari Sekolah Menengah Teknik. Saya hanya mendapat 3 kredit dan gagal dalam 2 matapelajaran.
Niatnya nak mohon bidang kejuruteraan elektrik. Namun apakan daya. Saya tak dapat panggilan UPU. Agak lama juga saya berehat selepas SPM dengan bekerja membantu jiran berniaga burger.
Rasa macam dah hampir putus asa nak sambung belajar.
Permulaan Belajar di KPTM – Sijil
Setelah hampir setahun saya bekerja dan mula berasa selesa dengan gaji yang saya terima, mak dan abah saya menggesa saya untuk menyambung pelajaran.
Mereka daftarkan saya masuk ke program persediaan (sijil) dalam Teknologi Maklumat di Akademi Infotech MARA (AIM) Alor Setar. Masa tu belum KPTM lagi. Punyalah rasa dah malas nak belajar, semuanya mak dan abah yang uruskan. Saya tinggal masuk belajar je.
Masa mula-mula nak melangkah masuk dulu, perasaan was-was tu ada jugak. Maklumlah, kolej swasta, yuran mesti mahal, serba serbi mesti banyak nak guna duit. Kesian pulak dekat mak dan abah. Tapi alhamdulillah urusan belajar saya dipermudahkan dengan adanya MARA, dan yuran pun takde la mahal sangat.
Masa tu pertama kali saya belajar programming dan programming language yang pertama saya belajar ialah Pascal. Sebelum ni di sekolah, saya cuma belajar banyak tentang elektrik dan elektronik. Memang tak ada langsung pengalaman belajar programming. Ramai kawan sekelas agak struggle untuk fahamkan konsep masa tu. Tapi saya rasa macam seronok dan enjoy bila buat programming.
Dari situ timbul minat baru untuk meneroka dalam bidang ni.
AIM (KPTM sekarang) Alor Setar tak jauh pun dari rumah saya. Pergi kelas naik motor je. Suasanya sekeliling agak sibuk sebab dekat dengan jalan raya dan kawasan kilang. Tapi bila dah masuk kelas, terus rasa macam ada dekat tempat lain. Sebab kelas yang tertutup dan berhawa dingin.
Setelah 6 bulan, Alhamdulillah saya tamat dengan cemerlang dan ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dalam bidang Teknologi Maklumat di Akademi Infotech MARA Batu Pahat. Juga masih belum bertukar KPTM. Waktu tersebut tahun 2002.
Jauh ke selatan tanah air. Banyak juga kos yang perlu ditanggung. Mujur ada MARA. Saya mohon pinjaman pendahuluan MARA untuk tampung kos yuran pendaftaran dan perbelanjaan untuk ke sana.
Pengalaman ke 2 Belajar di KPTM – Diploma
Kali ni suasana sekeliling memang lain. Maklumlah, jauh merantau di tempat orang. Ini kali pertama saya merantau jauh dari rumah. Nak tak nak saya kena biasakan dengan culture di sini.
Masa mula-mula sampai di Batu Pahat, memang agak kekok. Maklumlah, persekitaran memang berbeza, lagi-lagi bab makan. Walau bagaimana pun, tak la susah untuk sesuaikan diri.
Suasana pembelajaran di sini agak berbeza dengan kampus Alor Setar. Di sini kelas di Bangunan Tabung Haji (kampus lama KPTM Batu Pahat). Asrama juga agak jauh. Ulang-alik naik bas. Bangunan taklah besar, tapi selesa dan banyak kelas. Cuma kekurangan fasiliti untuk beriadah.
Pada tahun 2003, KPTM secara rasminya ditubuhkan dan AIM diserap masuk. Kalau nak tengok sejarah secara terperinci, boleh rujuk di website rasmi KPTM.
Di peringkat diploma, saya belajar programming language ke dua iaitu C++. Struktur yang sama dengan Pascal. Jadi tak ada masalah bagi saya. Kemudian saya belajar HTML, Javascript, CSS, database, data structure dan object oriented programming. Subjek yang paling saya minat masa diploma adalah web programming.
Walau pun agak berat, alhamdulillah saya lulus ke semua subjek tersebut. Sepanjang 3 tahun belajar di KPTM masa tu dah pandai buat simple sistem dan website.
Semester terakhir iaitu semester ke 6, saya memilih untuk menjalani latihan praktikal di Kedah iaitu di Kedah Institute of Management. Sekarang di kenali sebagai INSPIN.
Masa praktikal kat sini memang seronok. Maklumlah, dekat dengan rumah, staf yang ramah dan bos memang terbaik. Masa praktikal saya banyak diberikan tugas berkenaan hardware dan troubleshoot. Ada sekali pernah mengajar kakitangan kerajaan asas perkomputeran.
Rasa seronok pula bila mengajar orang. Terus timbul minat nak jadi cikgu komputer.
Pengalaman ke 3 Belajar di KPTM – Degree
Selesai 3 tahun belajar di KPTM, saya ditawarkan untuk bekerja secara full time di situ. Tak sampai setahun kerja, saya dapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat degree di KPTM Kuala Lumpur dalam bidang Sains Komputer.
Tanpa berfikir panjang, saya terima. Sekali lagi saya merantau di tempat orang. Pada penghujung tahun 2005, saya memulakan semester pertama sebagai pelajar degree di KPTM Kuala Lumpur. Tempoh pengajian biasa untuk degree adalah 3 tahun. Memandangkan saya lepasan diploma dari KPTM, saya dapat buat pengurangan kredit (credit transfer) dan tempoh pengajian saya dikurangkan menjadi 2 tahun sahaja.
Suasana pembelajaran di KPTM KL jauh berbeza dengan di Batu Pahat. Di sini pelajar agak independent dan kelas agak fleksibel. Maklumlah, kampus yang besar dan pelajar pun ramai.
Saya belajar Advance Programming menggunakan Java, database, multimedia dan banyak subjek project management. Subjek yang paling saya minat masa degree adalah Digital Society. Kelas ni memang seronok. Banyak perkongsian tentang isu teknologi semasa dikongsi oleh pensyarah.
Tamat Belajar di KPTM
Program degree biasanya tak ada praktikal. Jadi selesai 2 tahun pengajian, saya balik ke Kedah dengan hasrat untuk memulakan kerja. Habis belajar di KPTM, mantan bos saya masa di INSPIN dah ajak kerja dengan dia.
Masa tu dia dah berhenti dari INSPIN dan buka syarikat sendiri. Sepanjang kerja, saya banyak membangunkan website untuk perniagaan dan syarikat sekitar pejabat. Banyak juga, tapi tak pernah rasa penat sebab memang seronok bila buat apa yang kita minat.
Tak sampai 6 bulan kerja, saya dipanggil untuk temuduga di KPTM Batu Pahat sebagai pensyarah. Alhamdulillah dengan rezeki yang dikurniakan. Saya jadi pensyarah di KPTM Batu Pahat bermula dari 2008 sehingga 2019. Kemudian berpindah ke KPTM Ibu Pejabat di Kuala Lumpur sebagai Penolong Pengarah Teknologi Maklumat sehingga ke hari ini.
Persepsi Masyarakat Sekeliling
Masa saya belajar, saya sering ditanya oleh jiran-jiran. Antara soalan yang paling kerap ialah, belajar kt mana? Ambil bidang apa?
Bila saya cakap belajar di KPTM, bidang IT. Mereka macam pelik dan tanya KPTM tu apa. Mungkin masa tu KPTM tak lah terkenal macam sekarang. Jadi saya tak kisah pun. Dan yang lebih ‘down’ masa tu, ramai yang mempertikaikan berkenaan bidang IT.
Kata mereka bidang IT susah nak dapat kerja, bidang IT terlalu ramai yang menganggur. Sebenarnya, mana-mana bidang pun ada ramai juga yang mengaggur dan tak kerja dalam bidang yang berkaitan. Saya ada cerita dalam artikel terdahulu, Susah ke nak kerja kalau belajar di KPTM dan berkenaan relevan atau pun tak bidang IT dalam artikel ni, Bidang IT sudah tidak relevan lagi?
Yang penting anda tahu apa yang anda ceburi dan anda berusaha untuk memaksimakan skill dalam bidang tersebut.
Dalam masa yang sama juga, saya juga sering menerima pertanyaan tentang IPTS. Maklumlah, persepsi masyarakat menganggap IPTS ni mesti mahal kos pengajiannya. Sebenarnya, kos yuran memang ada perbezaan yang agak ketara, dan dari segi fasiliti di masa sekarang mungkin tak banyak berbeza. Boleh rujuk artikel saya yang lepas tentang perbezaan IPTA vs IPTS. Saya cerita terperinci dalam artikel tersebut.
Dan apa yang paling penting pada saya adalah bantuan pinjaman pelajaran dari MARA. Saya bersyukur dapat pinjaman pelajaran MARA dari mula sampai habis belajar. Anggaran keseluruhan kos yang saya pinjam dari MARA sebenarnya adalah lebih RM90,000. Ya! Dari sijil, diploma, degree dan master (peringkat master saya belajar semasa saya dah bekerja di KPTM, juga diberikan pinjaman MARA). Tapi saya cuma perlu bayar balik, RM0.00. Ya! Tak percaya boleh rujuk artikel saya berkenaan kelebihan pinjaman MARA.
Sum-up
Pada saya, pengalaman belajar di KPTM memang banyak membuka ruang dan peluang kepada saya. Saya belajar di KPTM, bekerja di KPTM dan dapat jodoh juga di KPTM (hehe). Saya bersyukur sangat mak dan abah paksa saya sambung belajar lepas habis SPM dulu. Kalau tak mungkin sekarang saya masih tak tahu hala tuju.
Nasihat saya, kalau anda masih ragu-ragu, buat kajian secara terperinci, dan kalau ada kaitan dengan MARA, teruskan sahaja. MARA banyak membantu bumiputera dan jangan lepaskan peluang yang ada.
kptm sijilnya diiktiraf atau tidak? mak ayah saya was was takut sijilnya tak diiktiraf
Program KPTM / UPTM mendapat pengiktirafan MQA. Setiap program ada no rujukan seperti ini R/813/4/0028 (09/2025) MQA/FA5843 pada syarat program. Boleh semak di website rasmi KPTM
Boleh saya tahu macam mana nk isi kptm ni?
Boleh isi borang ni, nanti sy pick up: Borang Permohonan KPTM/UPTM