in

Dilema Pandemic – Sambung Belajar atau Kerja?

Setelah hampir dua tahun, negara kita masih bergelut melawan pandemic. Saban hari kita menyaksikan jumlah kes Covid-19 turun naik yang bagaikan tiada kesudahan.

Sektor ekonomi sedang bergelut menahan diri dari keruntuhan. Rakyat berjuang untuk terus melawan desakan hidup yang makin mencengkam.

Adakah wajar untuk kita sambung belajar ketika ini? Atau sebaiknya mencari kerja untuk membantu keluarga menampung kehidupan?

Kalau kita sambung belajar, adakah peluang pekerjaan di masa akan datang? Sedangkan sekarang ramai yang terpaksa diberhentikan dan ramai kehilangan sumber pendapatan.

Berdasarkan petikan Berita Harian, sektor terjejas pelancongan, usahawan sosial, industri kreatif, teknologi, pendidikan, sumber manusia dan beberapa lagi. Ini termasuk perniagaan perlu ditutup kerana kekurang pelanggan yang drastik dan tidak boleh beroperasi.

Berdasarkan pemerhatian saya yang dhaif, kita sebenarnya terjejas kerana rata-rata industri tidak bersedia untuk berhadapan dengan situasi pandemic sebegini. Kita lebih selesa berurusan secara manual atau berdepan.

Dahulu kita lebih senang bekerja di pejabat, makan di kedai, belajar di kelas, dan berurusan di kaunter pada ketika segala teknologi ketika itu sudah bersedia untuk didigitalkan. Nasib baik aplikasi seperti Shopee, Lazada, FoodPanda, online banking telah wujud lebih awal. Kalau tidak, mungkin lebih dari 80 peratus kegiatan harian kita akan lumpuh.

Berbalik kepada persoalan utama kita, dalam situasi pandemic sebegini, adakah wajar jika kita sambung belajar atau kerja?

Pada saya, sambung belajar adalah sangat penting. Mungkin bukan untuk masa terdekat, tapi untuk setahun dua lagi. Saya tidak nafikan, nak sambung belajar perlukan kos dan belanja yang besar. Tambahan pula perlukan pelbagai kelengkapan bahan pembelajaran tambahan seperti buku rujukan, laptop dan lain-lain lagi.

Kalau kita memilih untuk kerja, sudah tentu tidak banyak pilihan yang kita ada berbekalkan hanya sijil SPM. Nak kerja kilang? Kilang pun tak boleh beroperasi. Nak kerja pejabat, pejabat pun tak boleh buka. Pilihan lain yang mungkin boleh diambil kira adalah rider FoodPanda atau GrabFood sekiranya anda ada kemudahan kenderaan. Tapi sampai bila nak jadi rider?

Sekarang kita ketepikan sekejap isu kerja lepas SPM. Kita tengok pula apa option yang ada jika kita sambung belajar. Untuk sambung belajar (saya ambil contoh sambung diploma), anda perlu justifikasi beberapa faktor, iaitu:

  • Bidang apa yang sesuai.
  • Kos yuran dan perbelanjaan berkaitan.
  • Komitmen untuk belajar.

Kesesuaian Bidang di Waktu Pandemic

Saya pernah tulis berkenaan bidang pengajian yang anda boleh rujuk di sini. Saya ada cerita berkenaan peluang pekerjaan dan bidang pengajian. Walau bagaimana pun, semasa negara berdepan dengan situasi pendemic sebegini, mungkin ada beberapa bidang yang mungkin akan menjatuhkan motivasi anda untuk diceburi.

Sebagai contoh industri penerbangan sama ada juruterbang, peramugari dan berkaitan, kerana kita lihat bagaimana ramai yang industri ini terpaksa diberhentikan kerana tidak dapat beroperasi. Begitu juga sektor perhotelan, pembinaan dan pembuatan.

Perlu diingat, norma baharu yang kita amalkan sekarang, mungkin akan berterusan selama beberapa tahun lagi. Jadi faktor ini juga perlu diambil kira untuk memilih bidang yang sesuai.

Pada saya, bidang yang mempunyai kaitan atau beroperasi menggunakan teknologi dan bidang essential seperti penyediaan makanan, perubatan, pendidikan adalah lebih berkeutamaan.

Bidang yang membolehkan anda bekerja secara independent atau remote juga perlu diberi perhatian. Maksudnya, anda tidak perlu masuk pejabat atau perlu ke lokasi tertentu untuk bekerja.

Tapi perlu juga dirujuk kembali kepada minat anda. Kerana anda boleh bekerja dalam bidang apa pun, tapi yang menentukan anda bertahan atau tidak adalah minat terhadap apa yang anda kerjakan.

Belajar apa sahaja bidang yang berkaitan dengan perkomputeran dan digital. Kerana selepas pandemic, semula industri akan bergerak ke arah digitalisasi. Kalau anda minat melukis, belajar lukis menggunakan komputer. Kalau anda minat berkebun, aplikasikan digital dalam pertanian anda. Digitalisasikan minat anda!

Berdasarkan akhbar The Star pada Febuari 2021, bidang Software Engineering merupakan bidang yang paling tinggi permintaan kerja. Mana taknya, kita ke arah zaman digital. Syarikat dan industri wajib mempunyai profile digital yang kukuh dan meningkatkan produktiviti kerja dengan bantuan teknologi agar tak ketinggalan.

Kos Yuran Pengajian

Selesai bab bidang pengajian. Isu kedua ni sangat penting, apatah lagi semasa negara sedang mengalami kelembapan ekonomi kerana pandemic. Kos yuran pengajian.

Bila terfikir soalan nak sambung diploma, biasanya ibu bapa kita wajib suruh masuk universiti awam atau institusi pendidikan awam seperti UiTM, UM, UKM, Kolej Komuniti dan lain-lain. Ini kerana yuran IPTA adalah lebih murah dan kualiti pendidikan memang diyakini sejak turun temurun.

Ya, memang tidak diragui, yuran IPTA adalah jauh lebih murah berbanding institusi pendidikan swasta. Secara purata, yuran pengajian bagi universiti awam adalah dalam lingkungan RM10,000 ke 20,000. Misalnya program diploma sumber manusia UM, RM17,750 dan mungkin yang paling murah adalah UiTM. Tak lupa juga, ada institusi pendidikan yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan seperti IKM, KKTM dan lain-lain.

Kerajaan juga telah mengurangkan kadar yuran. Walau bagaimana pun, ianya tidak melibatkan semua institusi. Barangkali ramai juga yang terbeban untuk bayar waima RM1,000 setiap semester.

Tambahan pula sejak perlaksanaan PKP dan pembelajaran secara online, keperluan seperti laptop, internet dan sebagainya merupakan tambah kos yang agak membebankan.

Seperti kita sedia maklum, pelajar yang layak ke IPTA akan ditawarkan bantuan pinjaman pelajaran PTPTN. Berdasarkan pengalaman saya dan dapatan umum, jumlah wang yang diberikan setiap semester hanya cukup-cukup untuk membayar yuran sahaja. Kalau ada lebih pun, tak lah banyak.

Dan satu lagi kekurangan PTPTN ni, berapa yang anda pinjam, sebanyak itu juga yang anda perlu bayar lepas tamat belajar nanti, malahan lebih lagi jika dicampur dengan bunga (atau bahasa sedapnya faedah).

Berbeza dengan pinjaman pelajaran MARA yang berkonsepkan pinjaman boleh ubah. Sebenarnya tiada hitam putih atau pekeliling rasmi yang dikeluarkan oleh pihak MARA berkenaan pinjaman boleh ubah ni. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri, bekas pelajar saya dan kawan-kawan.

Ada beberapa kelebihan lagi yang saya sangat suka berkenaan pinjaman pelajaran MARA ni, antaranya elaun bulanan. Anda boleh baca penjelasan berkenaan kelebihan pinjaman MARA yang saya tulis di sini [Kelebihan Pinjaman MARA].

Dukacitanya, MARA hanya menawarkan kemudahan pinjaman ini hanya kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan MARA sahaja seperti UniKL, KUPTM, KPTM dan beberapa institusi lagi yang kita sedia maklum institusi-institusi ini adalah IPTS.

Jadi yuran pengajian akan kelihatan sedikit mahal. Cuma saranan saya, jangan lihat pada jumlah kos keseluruhan yuran. Kerana kos yuran tersebut akan diberikan potongan jika anda tamat belajar nanti.

Saya sendiri merupakan pelajaran dengan tajaan MARA. Kos pengajian saya bermula diploma, degree hingga ke sarjana mencecah RM90,000. Alhamdulillah, saya bekerja dengan anak syarikat MARA. Pinjaman pelajaran saya dikira langsai.

Berdasarkan perkongsian beberapa bekas pelajar, mereka memaklumkan mendapat pengurangan yang banyak. Contohnya jumlah yuran pengajian dan elaun bulanan dalam anggaran RM50,000, selepas pengurangan mereka hanya perlu bayar RM5,000 sahaja. Yang lebih melegakan, bayaran hanya perlu dibuat selepas setahun mereka tamat belajar.

Jadi, saranan saya sekiranya anda layak untuk mohon pinjaman pelajaran MARA, rebutlah peluang tersebut. IPTA atau IPTS itu isu kedua. Melainkan bidang yang anda nak hanya ada di IPTA sahaja.

Komitmen Belajar

Isu komitmen ni sebenarnya sangat penting. Tapi saya tak nak sentuh secara mendalam. Cuma berdasarkan pengalaman semasa menjadi pensyarah, saya banyak berdepan kes-kes berkenaan komitmen pelajar sperti tidak menghadiri kelas, tidak menghantar tugasan.

Ini berkemungkinan pelajar tidak berminat untuk belajar atau sambung belajar ke bidang tersebut sebenarnya bukanlah keinginan utama beliau. Jadi proses pembelajaran mungkin akan terkesan sekiranya hati dan minat anda tiada di situ.

Perlu diingat seperti yang kita bincang terdahulu, kos pengajian bukanlah sedikit. Apatah lagi ketika situasi pendemic yang kita hadapi sekarang. Anda perlu bersedia dan jangan ambil risiko jika anda tidak pasti dengan bidang yang akan anda tempuhi.

Sum-up

Mungkin bagi sesetengah, keperluan untuk meneruskan kelangsungan hidup adalah lebih penting dari meneruskan pengajian dikala ini. Tidak salah pun untuk anda kerja sementara untuk membantu keluarga. Mungkin anda boleh tangguhkan hasrat untuk sambung belajar setahun dua sehingga keadaan kembali normal atau kewangan keluarga kembali kukuh.

Sekiranya anda berkemampuan, teruskan mengejar cita-cita. Pertimbangkan apa yang telah saya kongsi di atas. Semoga memberi manfaat kepada yang memerlukan.

Written by Hanis Harun

Muhd Hanis Harun is a staff of Kolej MARA Poly-Tech (KPTM) who works as a System Developer in the Information Technology Department, KPTM Headquarters starting in early 2020. Previously, he served as a lecturer in Software Engineering at KPTM Batu Pahat Branch, since 2008.

What do you think?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

GIPHY App Key not set. Please check settings

    Peluang Pekerjaan dan Bidang Pengajian

    Kerjaya Paling Kurang Terjejas Semasa PKP